“Berapa hantarannya?”
“Kenduri bila?”
“Honey moon di mana?”
Demikian antara persoalan yang sering timbul apabila hari pernikahan semakin hampir . Menjelang kenduri kahwin , semakin sibuk ibu bapa , keluarga serta bakal pengantin sendiri menghabiskan masa untuk memastikan persediaan sempurna dan tiada apa yang kurang .
Malah hari ini sudah menjadi perkara biasa untuk kaum keluarga dan adik-beradik memakai pakaian sedondon , sesuai dengan warna tema sesebuah majlis kenduri kahwin . Andaikata warna temanya biru , semua adik-beradik dan kaum keluarga akan berpakaian seragam biru . Khemah pun disusun rapi dan bereben biru sehinggakan door gift untuk tetamu pun mesti bertema serupa !
Namun adalah satu kesilapan bagi bakal pengantin lelaki dan wanita untuk terlalu fokus dengan persediaan fizikal di atas . Terlalu banyak tenaga , wang ringgit dan masa dicurahkan untuk persediaan kenduri , wang hantaran dan sebagainya.
Adalah lebih wajar 80 peratus daripada tenaga dan masa digunakan untuk meningkatkan kemahiran mengatasi konflik yang pasti menanti anda sebaik saja bergelar suami/ isteri . Sebaik-baiknya anda yang bakal mendirikan rumahtangga melengkapkan diri untuk menghadapi realiti alam perkahwinan jangka panjang .
+ LARI DARI MASALAH
Ada lelaki/ wanita memikirkan , perkahwinan menyelesaikan masalah hidup . Sesetengah lelaki/ wanita menyangka , sesudah berkahwin sudah tentu akan bahagia selamanya .
Umpamanya wanita yang terasa dikongkong oleh ibu bapa , mungkin menyangka dengan berkahwin , akan menjadi bebas . Atau ada lelaki menyangka bila sudah kahwin , makanan , pakaian dan kediaman akan terurus .
Mereka kurang memahami bahawa perkahwinan adalah suatu alam istimewa dan amat mencabar di mana kemahiran tertentu amat perlu untuk mengendalikan khususnya tiga perkara : JANGKAAN & HARAPAN , KOMUNIKASI dan PENYELESAIAN KONFLIK .
Inilah antara punca banyaknya berlaku perceraian tidak kira apa juga bangsa dan agama sekalipun .
+ JANGKAAN & HARAPAN
Sebenarnya , perkahwinan hanya akan berpotensi untuk berjaya jika kita benar-benar berusaha ke arah itu . Jika jangkaan kita tidak realistik , inilah salah satu sebab berlakunya ketegangan serius yang mengakibatkan perceraian .
Renung dan insaf diri sendiri . Setiap kita ada banyak kelemahan dan kekuatan . Banyak yang perlu diperbaiki . Begitu juga bakal suami/ isteri . Jangan harapkan pasangan yang sempurna kerana hanya Allah sahaja yang sempurna .
Walau sesuci manapun niat kita dalam mendirikan rumah tangga , pastinya ada kekurangan di pihak kita dan suami/ isteri kita .
Apa kata kalau calon suami/ isteri ada sesuatu tabiat yang kita tidak suka umpamanya merokok atau kaki perempuan atau kaki judi ? Di sinilah silapnya sesetengah wanita mengandaikan : kerana dia cintakan aku , dia akan berubah .
Kita tidak boleh mengubah diri seseorang . Kalau dia berubah kerana kita sekalipun , kemungkinan itu hanya bersifat sementara dan selang beberapa lama , tabiat itu akan diulangi . Lainlah ceritanya jika dia berubah kerana benar-benar taubat dan insaf .
+ KOMUNIKASI & PENYELESAIAN KONFLIK
Dua isu ini berkait rapat jadi eloklah dikupas bersama di sini .
Tanya diri sendiri : Adakah aku ada kemahiran komunikasi yang baik ? Umpamanya jika berselisih faham dengan kawan atau adik-beradik , tidak puas hati dengan rakan sepejabat , bagaimanakah anda menyelesaikannya ?
Adakah anda pandai menyampaikan ketidakpuasan hati anda ini dengan cara yang efektif ? Atau anda lebih suka memendam rasa ?
Kalau marah , adakah kebiasaan anda untuk tunggu dan tunggu sampai tidak tahan sehingga ia meledak keluar ? Adakah anda seorang pendengar yang baik ?
Ini penting kerana dalam perkahwinan , seringkali akan timbul perselisihan pendapat . Jika anda tidak cekap berkomunikasi , lambat laun perasaan ini akan terkumpul sehingga suatu hari nanti menjadi punca pergaduhan yang besar .
Pokoknya , jika tahu anda kurang cekap berkomunikasi , adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memperbaiki keadaan ini . Maknanya WAJIB anda belajar mengatasi keadaan ini .
Contoh : Sesetengah wanita kuat merajuk , suka bermasam muka dan membatu apabila marah . Sebab sudah terbiasa dari kecil berkelakuan begini , tiada sesiapa yang cuba memperbetulkannya .
Apabila sudah berkahwin , marah dengan suami , dia akan bermasam muka dan mendiamkan diri berhari-hari . Suami pula menjadi serba salah , terpinga-pinga , tidak tahu apa silapnya .
Apabila sudah sering berlaku begini , tentunya akan mencetuskan rasa kurang senang antara kedua belah pihak .
Perlu diingat , sebaik-baik perkahwinan adalah di mana suami dan isteri saling lengkap melengkapi antara satu sama lain . Namun tanpa kemahiran komunikasi yang efektif , sukar untuk mencapai keadaan ini .
+REALITI KONFLIK
Sebenarnya konflik boleh menjadi sesuatu yang positif atau negatif , bergantung pada reaksi anda terhadap konflik tersebut . Ia positif bila anda menggunakannya sebagai suatu batu loncatan untuk lebih memahami suami/ isteri anda .
Beberapa punca konflik rumahtangga termasuk :
1 - Cara kita dibesarkan berbeza antara satu sama lain . Ada wanita dididik bahawa Rasulullah S.A.W menjahit baju sendiri , buat kerja rumah . Bermakna menyumbang bukan sahaja wang ringgit , tapi masa dan tenaga . Kahwin pula dengan lelaki yang tak pernah buat kerja-kerja ini , tak pernah tengok bapanya buat kerja-kerja begini . Perkara sebegini pun boleh menimbulkan konflik juga .
2 - Pengendalian wang – belajar untuk bajet .
3 - Mertua (termasuk ipar duai) – beri masa untuk mereka menyesuaikan diri dengan kehadiran anda . Untuk ibu dan bapa mertua khususnya , sukar untuk ‘let go’ atau melepaskan anak .
4 - Seimbangkan keperluan anda dengan mertua dan keluarganya .
5 - Luangkan masa untuk mengenali lebih dekat mertua dan ipar duai tapi jangan masuk campur perkara yang tidak membabitkan anda .
6 - Ada sesetengah suami mewajibkan isteri untuk menziarahi keluarganya setiap minggu . Adakah ini wajar ? Jika sudah tahu demikian , sudahkah diberitahu sebelum berkahwin ?
+ TIPS BONUS
1 - Banyak lagi syarat-syarat yang diperlukan untuk menjayakan sesebuah mahligai perkahwinan selain kasih sayang – sokongan , toleransi , kesabaran , kejujuran , hormat-menghormati , merendah diri , humour (maknanya mudah berjenaka dan jangan terlalu serius sentiasa) .
2 - Bayangkan bila sudah berkahwin . Bangun tidur orang pertama yang kita nampak ialah suami/ isteri . Jika ada masalah , dialah yang menjadi tempat kita mengadu . Pendek kata suami atau isteri adalah orang paling rapat dalam hidup kita . Itulah sebabnya seelok-eloknya kita persiapkan diri kita untuk menghadapi alam perkahwinan sesempurna yang boleh .
3 - Perkahwinan ibarat menanam pokok . Selagi kita siram air , cukup cahaya matahari , baja , sihatlah dia. Jika diabaikan dan tersilap baja , pastinya layu dan suram tidak bermaya .
4 - Berhati-hati apabila berkata-kata . Jadilah kawan yang paling istimewa untuk suami/ isteri anda . Terlalu ramai suami/ isteri yang tinggal sebumbung tetapi tidak berkongsi lebih dari itu . Cuba cari sekurang-kurangnya satu hobi atau projek yang boleh diusahakan bersama . Umpamanya kalau suka membantu anak yatim , usahakan ke arah itu . Atau minat kelas agama , mungkin boleh sama-sama aturkan satu program untuk surau berdekatan .
5 - Mudah meminta maaf jika timbul ketegangan . Meskipun kita rasa bukan salah kita . Minta maaf dulu sebab seringkali kita tak nampak apa kesilapan kita (kecuali keadaan tertentu yang sudah nyata seperti suami mendera isteri) .
6 - Menghargai suami/ isteri . Jangan ‘take for granted’ perkara-perkara yang dibuat oleh pasangan anda , meskipun ia kecil .
7 - Memahami lelaki dan wanita berbeza . Umpamanya lelaki , cari mentega dalam peti sejuk pun tak jumpa . Wanita pula sering sesat di jalanraya dan sukar membaca peta . Ini perkara biasa dan tak perlulah diperbesarkan !
8 - Berilah masa untuk suami/ isteri masa bersendirian . Ada kala dia perlu masa untuk berehat , memikirkan masalah di luar yang tiada kena mengena dengan kita .
9 - Jangan tidur dengan perasaan marah antara satu sama lain . Perlu diselesaikan segera.
Mudah-mudahan tips di atas menjadi sumber ilham kepada anda untuk lebih bersedia melangkah ke alam perkahwinan dan memilih cara-cara terbaik demi perkahwinan yang bahagia dan berjaya yang diberkati oleh Allah . Wallahua’lam.
Copy : ILUVISLAM
0 comments:
Catat Ulasan