Ramai kalangan anak muda yang sedang menuntut di pusat
pengajian tinggi mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga selepas
menemui insan yang dirasakan sesuai untuk dijadikan pasangan.
Ia juga dikenali sebagai ‘nikah gantung’. Selain kerana
sudah menemui belahan jiwa mereka, satu lagi alasan adalah kerana untuk
mengelakkan dosa maksiat. Hakikatnya, nikah gantung memerlukan semangat yang
kuat baik dari segi mental mahupun fizikal.
Perlu bersedia luar dan dalam agar hubungan rumah tangga
berlangsung seperti biasa. Ramai yang kata seronok berkahwin tetapi usah
sekali-sekali lupakan cabaran yang bakal dilalui di masa hadapan.
Adatlah, selagi namanya manusia cubaan dan rintangan sudah
tersedia. Lebih-lebih lagi usia masih muda dan sudah punya famili, banyak
perkara perlu diambil kira. Oleh itu apa yang baik dijadikan tauladan, yang
buruk dijadikan sempadan. Berikut adalah persoalan dan penyelesaian apabila
ingin berkahwin di awal usia.
Apakah Kebaikan Berkahwin Muda?
Mungkin ramai yang tidak menyedari kahwin awal mampu
memelihara maruah wanita serta keluarganya dari fitnah dan zina. Lebih-lebih
lagi ketika berada di pusat pengajian yang sama. Sudah pasti bila ada masa
terluang janji temu akan diatur bagi melepas kerinduan. Sekali dua mungkin
boleh bertahan tetapi masuk ketiga dan seterusnya, adakah keadaannya masih
sama? Ditambah pula jika ‘berdua’ sudah pasti ada yang ketiga iaitu ‘syaitan’.
Dengan berkahwin, segala-galanya terjaga.
Baik dari segi syariat, akhlak, agama dan macam-macam lagi.
Dari sudut yang lain, ibu bapa tidak perlu lagi risau kerana sudah ada orang
yang sah di sisi agama untuk menjaga keselamatan, keperluan dan kebajikan anak
perempuannya.
Perlukah Berkahwin Di Awal Usia?
Tidak dinafi kan, pelajar-pelajar universiti ini ada yang
menjalin hubungan lebih dari dua tahun, malah hingga enam tahun. Jadi, dalam
tempoh yang begitu lama, agak rugi sekiranya menghabiskan masa bertemu kerana
ingin melepaskan rindu tetapi dalam masa yang sama menambah dosa apabila
melakukan ‘adegan tambahan’.
Jalan paling baik adalah bertanya secara jujur kepada
pasangan sama ada dia bersedia untuk mendirikan rumah tangga atau sebaliknya.
Sekiranya dia bersetuju maka usahakan ke jalan kebaikan tetapi jika dia
berdolak-dalih dan gagal berikan alasan yang munasabah sebaiknya lakukan solat
istikharah.
Pertimbangkan untuk memutuskan hubungan kerana dia gagal
menunjukkan kesungguhannya. Biarpun ada yang menentang berkahwin di usia muda
tetapi cubalah memandangnya dari sudut yang positif.
Mengapa Tidak Bertunang Dahulu?
Nyata ia adalah soalan yang popular. Bertunang samalah
seperti berpacaran, masih terikat dengan syariat agama kerana keduanya masih
bukan mahram yang sah. Segala-galanya terbatas dan ‘lesen’ bertunang itu
sebenarnya adalah sekadar adat sahaja.
Paling tidak memberitahu masyarakat bahawa gadis itu telah
‘ditanda’ oleh seseorang. Lagipun, ada hadis yang mengatakan sekiranya
seseorang anak gadis telah menemui pasangan yang sesuai dengannya maka segerakanlah
perkahwinan untuknya. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa baginda
Rasulullah saw telah bersabda :
“Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redha i
agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu, maka nikahkanlah dia. Jika
tidak kamu lakukan demikian, maka akan timbullah fi tnah dan kerosakan”.(hadith
hasan riwayat Tirmidzi no 1084)
Bagaimana Jika Tidak Direstui?
Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mendapatkan
restu ibu bapa di kedua belah pihak. Cuba yakinkan mereka mengenai kebaikan
kahwin awal dan pendekatan yang akan kalian lakukan selepas berkahwin kelak.
Bagaimanapun, sekiranya mereka masih tidak setuju dengan
keputusan berkenaan sebaiknya jangan diteruskan. Ini kerana redha ibu bapa itu
penting untuk anak teruskan kehidupannya. Ingatlah bahawa perkahwinan bukan
untuk sehari dua, ia untuk selamanya.
Mungkin banyak perkara yang dibangkitkan mengenai
tanggungjawab, kewangan atau ciri-ciri kepimpinan. Di sinilah kalian perlu
buktikan yang terbaik kepada mereka bahawa masing-masing telah cukup matang
untuk melayari alam rumah tangga.
Bagaimana Pula Dengan Pandangan Masyarakat?
Lazimnya inilah masalah yang sering mengganggu. Sering
memikirkan persepsi masyarakat daripada persepsi Yang Maha Berkuasa. Bercinta,
berjumpa dan berkasih tidak takut tetapi bila hendak mendirikan rumah tangga
masih teragak-agak. Bimbang dengan kata-kata orang kerana di zaman yang serba
moden ini, masih ada penuntut universiti yang memilih untuk berkahwin.
Sudah pasti ada perkara yang buruk berlaku membuatkan mereka
terdorong untuk mengakhiri zaman bujang dalam masa yang singkat. Itu suara-suara
sumbang yang biasa kedengaran tetapi yakinlah jika niat itu baik maka Allah
akan mudahkan. Lagipun, selama mana mereka mampu mengata. Takkan selamanya jadi
biarkan sahaja. Teruskan dengan niat yang murni kerana Allah sentiasa bersama
dengan hamba-hamba-Nya yang sabar.
Mampukah Bahagia ?
Sebenarnya, usia, tempoh perkahwinan malah apa sahaja
bukanlah jaminan untuk mencapai bahagia. Semuanya tergantung kepada pasangan
itu sendiri untuk berusaha ke arahnya. Sekalipun ada di antaranya terpaksa
berjauhan kerana masing-masing menginap di asrama yang berlainan tetapi itulah
yang mengajar erti kerinduan, erti kasih sayang yang sebenar. Berselisih faham
itu biasa. Kata orang lumrah dalam rumah tangga tetapi cuba cepat-cepat
selesaikannya. Menariknya lagi masing-masing mengetahui tentang tujuan di masa
hadapan. Sudah mengetahui diri terikat dengan lafaz ijab dan kabul maka
berakhirlah istilah mencari calon yang meletihkan.
Cara Bahagi Masa Antara Belajar Dengan Rumah Tangga?
Mudah sahaja kalau tahu cara asasnya. Waktu belajar berikan
tumpuan sepenuhnya, jangan main-main dan berusahalah untuk berjaya. Tetapi bila
dengan suami, tugas sebagai pelajar itu dilupakan seketika. Laksanakan
tanggungjawab yang diamanahkan untuk melayannya sebaik mungkin. Tidak bermakna
sepanjang masa perhatian harus dialihkan padanya. Apabila dia keluar atau tidur
maka buatlah aktiviti yang anda suka. Senang cerita, kehidupan tak banyak yang
berbeza dan usah sekali-sekali anggap ia sebagai bebanan.
0 comments:
Catat Ulasan